BANGKOK: Pelancaran pembukaan sebuah restoran yang menyediakan nasi dan kari berharga 20 baht iaitu RM2.50 oleh seorang menteri dan bekas Ahli Parlimen merupakan satu usaha meringankan bebas kos sara hidup rakyat.
Menteri Pertanian dan Koperasi, Chalermchai Sreeon serta bekas Ahli Parlimen Bangkok, Chanin Rungsang, memulakan program itu dalam kalangan masyarakat di Suan Prok di daerah Bang Phlat, Bangkok.
Restoran dengan tawaran harga berpatutan akan dimulakan dalam kalangan masyarakat di serata ibu negara, dengan bantuan Yayasan Ruam Duay Chuai Kan Sam Nuek Rak Ban Kerd, Kementerian Perdagangan dan jaringan sektor swasta.
Chanin berkata, nasi dengan kuah kari adalah makanan penting bagi penduduk bandar dan harga yang ditetapkan bersesuain dengan keadaan ekonomi semasa negara.
Sementara itu, kos pengeluaran pengusaha restoran untuk gas, bahan mentah dan penghantaran akan dikurangkan bagi membolehkan harga makanan setiap hidangan nasi dan kari dikurangkan kepada 20 baht.
“Dengan usaha ini, sebuah restoran menawarkan makanan pada harga 20 baht akan diwujudkan di setiap kejiranan.”, jelasnya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Koperasi turut mengedarkan benih sayuran kepada penduduk setempat untuk ditanam bagi kegunaan sendiri.
Pihak kerajaan turut mempelawa masyarakat yang berminat untuk membuka restoran yang berkonsepkan makanan bantu rakyat dan menghubungi Jabatan Perdagangan Dalam Negeri.