PUTRAJAYA: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) adalah tertakluk kepada keputusan pihak universiti sendiri sama ada secara hibrid mahupun secara atas talian.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata IPT yang ingin mengadakan pembelajaran secara bersemuka perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.
Walaubagaimanapun, IPT masih dibenarkan untuk menjalankan pembelajaran secara atas talian mengikut kesesuaian dan situasi semasa.
Susulan daripada pengumuman kerajaan yang membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.
Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus.
KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar sepanjang berada di kampus, serta akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus berjalan dengan lancar.
Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri manakala segala aktiviti sukan dan riadah yang melibatkan ramai orang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.
Bagi maklumat lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing untuk sebarang pertanyaan dan penjelasan yang lebih jelas.