KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengehadkan perhimpunan sosial selama dua jam berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, had masa dua jam itu terpakai untuk majlis perayaan, perjumpaan, tahlil, doa selamat, aqiqah dan upacara sosial lain.
Jelas beliau, perhimpunan seumpama itu dihadkan kepada 50 tetamu sahaja atau separuh daripada kapasiti ruang manakala tetamu tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti bersama seperti karaoke atau tarian.
Tambahnya, majlis rasmi dan tidak rasmi di sektor awam dan swasta juga tertakluk kepada had masa dua jam dan maksimum 150 hadirin atau satu pertiga daripada ruang premis, tertakluk kepada SOP wajib.
Begitu juga dengan aktiviti mesyuarat, konvokesyen dan pameran dibenarkan dengan syarat semua hadirin divaksin sepenuhnya, tertakluk kepada kapasiti 50 peratus ruang premis.
Walau bagaimanapun, Masidi berkata majlis perkahwinan dan pertunangan serta resepsi dibenarkan satu jam tambahan dengan jumlah had masa tiga jam, tertakluk kepada 150 tetamu atau 50 peratus daripada kapasiti ruang.