KUALA LUMPUR: Melihat kepada catatan kes harian yang semakin membimbangkan kebelakangan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberi jaminan bahawa tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadhan pada tahun ini.
Walaubagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) bazar ramadhan akan diperhalusi dan akan diumumkan apabila sampai masanya nanti.
“Melihat kebimbangan rakyat, saya sudah menjelaskan beberapa kali bahawa sektor perniagaan tidak akan ditutup dan sudah diperjelaskan bahawa apa-apa perayaan segalanya masih akan berjalan seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tentang luahan peniaga Bazar Ramadhan yang bimbang tentang perniagaan masing-masing kerana tidak boleh berniaga akibat kes COVID-19 negara yang mengalami peningkatan mendadak, susulan penularan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.
Tambahan kes baharu COVID-19 yang kian mencatat 5 angka iaitu 22,802 kes menjadikan kumulatif kes mencecah lebih 3 juta.
Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penganjuran Bazar Ramadhan di Wilayah Persekutuan tahun ini dibenarkan, dan akan dilaksanakan seperti biasa berlandaskan SOP yang telah ditetapkan.
Pada tahun 2020, operasi Bazar Ramadhan di seluruh negara tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadhan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi dan hal ini memberi kesan kepada sumber pendapatan para peniaga.
Dengan itu, perniagaan Bazar Ramadhan akan dibuka pada tahun ini dan para peniaga dibenarkan menjalankan perniagaan seperti sebelumnya dengan syarat terus mematuhi SOP yang digariskan pihak berwajib.