Kota Kinabalu: Kerajaan fokus menambah peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini termasuk membantu sektor pelancongan di Sabah yang turut terkesan dengan pandemik covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata komitmen antara lain dapat dilihat menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM4.8 Bilion.
Katanya, inisiatif tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Februari ini.
“Melalui Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran telah mencatatkan penurunan pada Disember (2021) kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada November.
“Kita tahu, pekerjaan merupakan asas kepada pemulihan ekonomi kerana itulah peluang pekerjaan ini merupakan antara fokus utama dalam belanjawan. Dalam belanjawan 2020, kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan.
“Pada tahun ini, dengan mengambil semangat konsep JaminKerja, perdana Menteri akan melancarkan program itu bagi menyediakan 600,000 pekerjaan, peningkatan 100,000 berbanding sasaran pada tahun 2021,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu.
Dalam perkembangan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada penggiat sektor pelancongan terutama di sabah menerusi pelbagai inisiatif termasuk program subsidi upah bagi membolehkan mereka memacu semula pertumbuhan sektor berkenaan.
Katanya, banyak sektor ekonomi dalam negara yang menunjukkan pemulihan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu pada suku keempat sebanyak 3.6 peratus yang diumumkan baru-baru ini. Namun, sektor pelancongan masih belum ke arah itu.
“Jika kita lihat, banyak sektor telah kembali pulih, tetapi sektor pelancongan belum lagi,” katanya sambil menambah kerajaan memperuntukkan pelbagai insentif untuk sektor pelancongan dalam Bajet 2022 berjumlah RM1.6 billion.
“Penggiat pelancongan di Sabah berharap bantuan kerajaan diberikan secara bersasar dan pada masa sama berharap kerajaan dapat membuka semula sempadan bagi membolehkan kehadiran lebih ramai pelancong asing ke Sabah,” katanya.