spot_img
HomeUncategorizedSeorang wanita ditahan bawa syabu dengan kereta curi

Seorang wanita ditahan bawa syabu dengan kereta curi

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 35 tahun cuba melarikan diri dengan pacuan empat roda Toyota Hilux curi di Jalan Tun Fuad hari ini.

Dalam kejadian pada 10 pagi tadi, pemilik sebenar Toyota Hilux menghubungi pihak polis, mengatakan bahawa kereta miliknya ditemui di kawasan berhampiran Pasar Filipina dan didapati ia dipandu oleh seorang wanita.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata, selepas menerima laporan daripada pemilik sebenar Toyota Hilux tersebut, Unit Peronda MPV polis telah berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Tanjung Lipat.

Menurut beliau, semasa pihak polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, suspek tidak mengendahkan arahan tersebut sebaliknya terus memecut laju untuk melarikan diri daripada pihak polis.

“Dua kereta MPV polis yang turut dibantu pasukan trafik sekali lagi menghalang suspek di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun suspek merempuh sekatan jalan dan terus menuju ke Sepanggar.

“Ketika berada di lampu isyarat Tebobon di Jalan Sepanggar, suspek yang memandu Toyota Hilux tersekat akibat kesesakan lalu lintas dan ketika pihak polis cuba menahannya, suspek sekali lagi melarikan diri dengan mengikuti laluan kecemasan,” tambahnya lagi.

George berkata, akibat tindakan suspek yang mengundurkan kenderaan tersebut dengan laju, seorang pegawai polis telah dilanggar sehingga mengalami kecederaan.

Berikutan hal tersebut, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa dos tembakan ke arah tayar bagi mengelakkan kenderaan tersebut terus bergerak dan mereka turut memecahkan tingkap hadapan kenderaan untuk menahan suspek.

“Hasil pemeriksaan dibuat, pihak polis telah menemui syabu yang dipercayai untuk kegunaan suspek. Wanita tersebut ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular