KOTA KINABALU: Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) bernilai RM1 bilion akan dibina di atas tapak seluas 10 hektar di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, usaha merealisasikan SMJREIC akan dilaksanakan oleh Suria Capital Holdings Bhd dengan kerjasama Vandelay Ventures Sdn Bhd.
“Suria Capital Holdings Bhd telah menambah satu lagi portfolio pelaburan berpotensi ke dalam senarai usaha niaga sektor swasta yang berjaya di negeri ini. Saya berharap dapat melihat hasil Memorandum Persefahaman (MoU) ini dalam masa terdekat,” katanya sewaktu pelancaran SMJREIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), kelmarin.
Beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Suria Capital Holding Bhd dan Vandelay Ventures Sdn Bhd serta rakan kongsi, termasuk Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), SULZER GTC Technology dan THINKAT Advisory Sdn Bhd.
Dalam pada itu, usaha mewujudkan SMJREIC akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah.
“Kerjasama ini melibatkan sebuah syarikat awam berhad, Suria Capital yang mempunyai reputasi tinggi di negeri ini dan ia memainkan peranan besar dalam memastikan projek berdaya maju ini dilaksanakan dengan jayanya,” tambahnya lagi.
Setelah siap, SMJREIC akan menempatkan terminal pukal minyak makan dengan kapasiti 30,000 tan metrik dan kompleks penapisan minyak sawit dengan kapasiti 100,000 tan metrik setahun.
Ianya juga akan menempatkan Edible Oil Bulking Terminal, kompleks Penapisan Minyak Sawit dan loji Minyak Sayuran Berhidrogen (HVO) yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 250,000 tan metrik setahun untuk menghasilkan Bahan Api Penerbangan mampan (SAF).
Sementara itu, kompleks dan kemudahannya serta industri sampingan dianggarkan menjana kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Sabah.