BATU PAHAT: Setelah selesai menetapkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat, kerajaan menjangkakan pintu sempadan negara akan dibuka sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkannya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan berkenaan.
“Jangka masa dua minggu telah diberikan untuk saya dan pihak KKM menyediakan garis panduan berkenaan. Namun begitu, ia tidak bermakna pembukaan sempadan akan dibuka dalam masa dua minggu lagi dan tempoh dua minggu berkenaan adalah untuk menyiapkan garis panduan sahaja. Bagi tempoh pembukaan pula, ianya akan diumumkan pada masa berikutnya,” katanya.
Khairy berkata, selepas garis panduan berkenaan siap, pihaknya akan membentangkannya terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Perincian garis panduan dan SOP itu akan dibentang pada jawatankuasa kuartet di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussien sebelum dibawa kepada jemaah menteri.
Perkara itu adalah keputusan besar yang tidak boleh dibuat di peringkat KKM sahaja dan perlu membabitkan dasar besar negara tentang pembukaan sempadan. Dengan itu, proses pembukaan ini perlu melalui beberapa peringkat sebelum diumumkan dibuka sepenuhnya oleh Perdana Menteri.
Katanya, ketika ini pihaknya sedang menyediakan garis panduan, SOP dan juga keputusan-keputusan tertentu yang perlu disahkan oleh jemaah menteri mengenai pembukaan sempadan negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meminta Kementerian Kesihatan mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara tentang keputusan sama ada mahu membuka pintu sempadan sepenuhnya atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.
Kerajaan perlu membuat pertimbangan yang seimbang sebelum melaksanakan pembukaan sempadan kerana ada rakyat yang masih belum dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa hidup dengan COVID-19. Dengan itu, penelitian akan dilaksanakan sebaiknya demi kebaikan semua pihak.


