LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuah telah mengagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras masuk ke Sabah dalam satu operasi di perairan laut Menumbok, Sabah sekitar jam 11 malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, ASP Saidul Maruf berkata, Pasukan Polis Marin telah terserempak dengan satu bot dalam keadaan mencurigakan yang terus memecut melarikan diri apabila diarahkan berhenti.
Menurut Saidul, bot berkenaan bertindak memecut melarikan dari serta membuang minuman keras yang dibawa semasa dikejar oleh Pasukan Polis Marin.
“Sejumlah minuman keras didapati terapung di permukaan air yang telah dibuang oleh suspek semasa dikejar oleh Polis Marin. Bot tersebut juga terus memecut laju serta berjaya melarikan diri dan tidak dapat dikesan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap minuman keras yang dibuang mendapati minuman-minuman keras tersebut adalah tidak bercukai dan dipercayai ingin diseludup ke Tanah Besar Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan mencecah sehingga RM11,553.70 manakala kes akan disiasat di bawah kesalahan Akta Kastam 1967.
Susulan itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan masyarakat maritim untuk memberikan sebarang maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang kepada mereka ataupun melalui aplikasi Whatsapp Pusat Kawalan PPM W4 Sabah di talian 013-9391197.