KUALA LUMPUR: Seramai 17 individu disahkan layak menerima bantuan khas kewangan yang berjumlah RM195,000 selepas mengalami kesan sampingan yang serius akibat daripada penerimaan vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bantuan berkenaan sudah dibayar dalam Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19.
Setakat 15 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima sebanyak 187 permohonan, termasuk 23 ditolak dan 147 masih dalam penilaian.
Khairy Jamaluddin turut menjelaskan berkenaan jumlah pampasan sudah diberi kepada individu yang terjejas akibat kesan advers susulan imunisasi (AEFI).
“Sebanyak 86 permohonan sedang dinilai oleh Jawatankuasa Farmakovigilans yang menilai kesan buruk selepas imunisasi, manakala 61 sedang dinilai Jawatankuasa Teknikal yang menilai kesahihan permohonan bantuan,”katanya.
KKM turut menubuhkan tiga jawatankuasa dalam menentukan kesan dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19, iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Utama yang memainkan peranan dalam menentukan kelulusan akhir untuk bantuan khas.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ini menekankan dana kerajaan yang disalurkan kepada individu yang mengalami kesan sampingan serius selepas vaksinasi COVID-19 adalah bantuan kewangan dan bukan wang pampasan.
Bantuan yang diperkenalkan pada 22 Mac tahun lalu itu, bernilai tidak lebih RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin COVID-19 sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital, dan tidak lebih RM500,000 sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan imunisasi itu.
Mereka yang layak menerima bantuan khas adalah individu yang mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan penerima yang layak adalah golongan individu yang mengalami kesan sampingan yang serius dalam tempoh tiga bulan dari tarikh inokulasi.
Laporan mengenai kesan sampingan yang serius perlu dikemukakan kepada NPRA oleh kakitangan kesihatan yang merawat pesakit.
Bagi kematian, laporan bedah siasat perlu disertakan. Permohonan hanya akan dipertimbangkan dalam tempoh setahun dari tarikh AEFI kali pertama dilaporkan.