KUALA LUMPUR : 19 kontraktor telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah.
Semua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 10 pagi semalam.
Menurut sumber, penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Semua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita itu akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat,” tambahnya.
Menurut S Karunanithy, SPRM Sabah sudah menahan seramai 39 kontraktor dipercayai mempunyai modus operandi sama, membabitkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta, pada 2020, manakala melakukan sebanyak 132 pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah, tahun lalu.
“SPRM memandang serius kesalahan terbabit dan susulan daripada kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan,” tambahnya.
“Antara usaha dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor, seperti penganjuran seminar integriti hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Sabah dan SPRM negeri, pada 25 Ogos 2020,” tambahnya lagi.
Karunanithy berkata SPRM Sabah turut menganjurkan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor dalam Menangani Rasuah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, pada Mac tahun lalu.
Beliau turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia adalah kesalahan serius.
Katanya, persatuan kontraktor juga disaran supaya mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan kesalahan berkaitan.
“SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan berkenaan supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku, khususnya berkaitan rasuah,” tambahnya. – BH