KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022.
Pembukaan sempadan tersebut selaras dengan situasi negara yang akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ juga pada tarikh yang sama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata ini merupakan satu berita gembira buat pengusaha industri pelancongan serta seluruh rantaiannya, dalam merancakkan semula sektor pelancongan selepas dua tahun dilanda pandemik Covid-19.
“Saya juga ingin menyarankan semua pengusaha industri pelancongan agar melakukan persediaan awal bagi menerima pelancong dari luar negara diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” tambahnya.
Jafry berkata kementerian bersama semua agensi terlibat juga akan terus mempergiat promosi dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di peringkat antarabangsa.
“KePKAS akan terus memberi kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam menjayakan pembukaan semula sempadan mulai 1 April depan,” tambahnya.