KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah akan menunggu pengumuman Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih terperinci, sebelum membuat sebarang cadangan pembukaan sempadan negara oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, sebaik sahaja SOP terperinci pembukaan sempadan diumumkan, jawatankuasa itu akan memulakan perbincangan dengan pihak berkaitan mengikut keperluan di Sabah.
“Sememangnya Sabah perlu ada sedikit penambahbaikan SOP kerana negeri ini menerima ramai pengunjung dari dua negara jiran, iaitu Filipina dan Indonesia,” katanya.
Dengan itu, Sabah mahu memastikan setiap pelawat antarabangsa ke negeri ini divaksin sepenuhnya dengan dos penggalak.
Mengulas lanjut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, kementerian menyokong penuh pembukaan semula sempadan walaupun langkah pembukaan semula sempadan perlu mematuhi SOP yang lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19.
“SOP ketat perlu dijelaskan kepada penggiat industri pelancongan bagi memastikan mereka bersedia, sebelum sempadan negara dibuka,” tegasnya.
Jelas beliau, Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan, dan kementeriannya bersedia mengadakan sesi penglibatan dengan semua pihak sebagai sebahagian daripada persiapannya.
“Pembukaan sempadan penting agar industri pelancongan terus bertahan, di samping memastikan penularan COVID-19 terkawal,” ujarnya.