KUALA LUMPUR: Budaya suka mencari talian hayat menjadi isu yang penting untuk diketengahkan kerana ia mampu memberi kesan buruk terhadap pentadbiran sesebuah parti yang mentadbir kerajaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya suka mencari talian hayat mesti dibuang dan parti itu perlu berhenti memberi nyawa mereka kepada orang lain.
Beliau menegaskan agar parti UMNO tidak meminta-minta nyawa serta menyimpan sikap suka bergantung dengan parti lain semata-mata hanya untuk memerintah.
“Apatahlagi bergantung kepada Parti Islam Se Malaysia (PAS), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu talian hayat dan nyawa simpanan,” katanya dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), semalam.
Menurut beliau, UMNO sewajarnya berhenti memberi peluang kepada mereka yang mengemis peluang dan kemudian menikam dari belakang.
“Sayap parti UMNO ditegaskan agar tidak terbelenggu dengan sindrom ‘defisit keyakinan’ serta ragu terhadap diri sendiri sehingga mengganggu tahap keyakinan dan rasa gentar mengambil langkah berani.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh dikalahkan dengan ‘sindrom defisit keyakinan’ kerana tahap ketahanan, kemampuan dan kekuatan UMNO itu sendiri ada pada setiap seorang dari mereka semua dan bukannya ada pada mana-mana pihak atau pemimpin bersendirian.
“Sayap parti UMNO mestilah memiliki keyakinan terhadap kemampuan, kekuatan dan ketahanan,” katanya.