KUALA LUMPUR: Kerajaan kini membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bermula 1 April dan berakhir pada hujung bulan depan.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, butiran lanjut mengenai skim itu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan, dan menambah bahawa ini adalah selepas permintaan daripada pelbagai pihak.
“Ini adalah keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan persaraan rakyat. Pengeluaran khas ini adalah jalan tengah untuk mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa depan,” katanya dalam sidang media khas, kelmarin.
Penyelidikan dan penelitian menyeluruh terhadap fasa pemulihan COVID-19 negara menunjukkan masih terdapat orang yang terjejas dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan cuba membina semula kehidupan mereka.
“Kerajaan telah mendengar, mengkaji serta meneliti permintaan beberapa pihak yang ingin mengeluarkan caruman KWSP mereka,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau merayu pencarum KWSP menyimpan baki simpanan dalam akaun bagi tujuan kecemasan, walaupun kerajaan telah bersetuju untuk pengeluaran itu.
“Saya harap pencarum membuat pertimbangan sebelum membuat pengeluaran untuk masa depan mereka,” tegasnya.