KUANTAN: Seorang pelajar lelaki yang berusia 11 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah kompleks rumah anak yatim dan punca kematian dipercayai akibat dibelasah oleh pelajar senior.
Kejadian berlaku di bangunan surau asrama iaitu pada jam 3.45 hingga 4.15 petang dan hasil siasatan awal mendapati mangsa telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek yang berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.
Kejadian ini disedari oleh penyelia asrama yang berusia 35 tahun selepas mangsa dibawa oleh tiga penghuni lain termasuk suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pada awalnya, mangsa masih bernyawa dan disyaki diserang sawan kerana tidak sedarkan diri. Penyelia kemudian mengambil tindakan untuk segera membawanya ke HTAA mendapatkan rawatan lanjut.
“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas. Penyelia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.,” kata Wan Mohd Zahari dalam kenyataan.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan, termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua ditugaskan untuk melakukan gotong-royong membersihkan surau,” jelasnya.
“Ketika di surau, suspek dipercayai mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri dan kejadian ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4,” katanya.
Suspek juga dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang tidak mengambil serius tegurannya. Tindakan suspek terbongkar selepas kejadian itu disaksikan beberapa orang penghuni asrama lain.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut. Susulan kejadian itu suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.