Tawau: Sederet rumah kongsi yang menempatkan pekerja kilang musnah dalam insiden kebakaran di Batu 5 Jalan Apas, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 malam sebelum tindakan lanjut diambil.
“Susulan itu, seramai 13 anggota dan pegawai bersama empat jentera ternasuk EMRS digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.”
“Sebaik tiba, sederet rumah kongsi lima pintu sudah musnah terbakar dan operasi memadam segera dilakukan supaya api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, pasukan bomba menggunakan dua pancutan air daripada sumber pili bomba berhampiran sebelum berjaya mengawal kebakaran.
“Setakat ini, pasukan bomba tidak menerima laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden itu,” katanya.
Tambah Julius, pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam setelah menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan persekitaran kebakaran selamat.