KUANTAN: Seorang remaja dilaporkan telah l dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada bulan lalu.
Remaja lelaki yang berumur 16 tahun itu didakwa kerana telah menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di Surau An-Nadwah Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat, antara jam 3.45 hingga 4.15 petang 20 Mac lalu.
Tiada pengakuan bersalah direkodkan kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala remaja terbabit diwakili peguam, Datuk Mohd Najid Husain.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun telah maut dan dipercayai ianya berpunca dari tindakan pelajar senior di asramanya. Mangsa telah disepak, dicekik dan dihempas oleh suspek dalam kejadian yang didakwa membabitkan wang RM4.
Bagaimanapun Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepala.