KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi membekalkan peralatan pejabat di sebuah jabatan telah didenda RM80,000 oleh Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kota Kinabalu semalam.
Tertuduh, Koh Mui Huck, 54, telah mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Berdasarkan pertuduhan, Koh Mui Huck menggunakan dokumen yang diketahui palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan perkhidmatan membekal dan menghantar pelbagai jenis toner untuk kegunaan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah.
Menurut laporan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 7 Jun 2017, bertempat di JPN Sabah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM80,000, dan jika gagal membayarnya akan dipenjara selama enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili oleh peguam Chong Kian Ming. – Berita Harian