KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan melompat keluar dari kereta e-hailing selepas, pemandunya didakwa mencabul dan menyamunnya berhampiran Jalan Kionsom, Inanam, kelmarin.
Kira-kira pukul 9 pagi, mangsa yang merupakan seorang jurujual berusia 19 tahun telah menempah perkhidmatan e-hailing untuk pergi ke tempat kerja di Menggatal.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, George Abdul Rakman berkata, pemandu e-hailing memberitahu mangsa bahawa dia terpaksa menggunakan jalan pintas kerana laluan utama tersekat.
“Ketika mereka berada berhampiran kawasan air terjun Kionsom, pemandu terbabit meminta gadis itu duduk di tempat duduk hadapan,” ujarnya.
Jelas beliau, suspek kemudian meraba paha mangsa. Apabila mangsa memberitahunya supaya tidak melakukannya lagi, suspek terus bertindak mengeluarkan pisau kecil lalu mengugut mangsa.
“Khawatir akan nyawanya, mangsa nekad melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak itu,” tambahnya lagi.
Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan di bahagian tangan, siku dan lutut.
Hasil siasatan mendapati kereta Perodua Axia itu mempunyai nombor plat yang didaftarkan kepada kenderaan lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digesa menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Riduan Abd Majidat di talian 010-514 4059, atau balai polis berhampiran. – Borneo Post Online