Bayi lima bulan maut, empat parah dalam kemalangan
SETIU: Empat parah, manakala seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51 Jalan Sungai Lerek, semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihak mereka menerima panggilan sekitar jam 9.55 malam tadi yang memaklumkan seorang mangsa kemalangan meninggal dunia di hospital.
Menurut Afandi, mangsa Nur Al Ammara Mohamad Budiman, berusia lima bulan yang berasal dari Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan, telah disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dengan Perodua Viva, sekitar jam 6.15, semalam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila Toyota Alphard yang dipandu dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu bertembung dengan Perodua Viva yang datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan.
“Pemandu Perodua Viva dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya namun gagal dan bertembung dengan Toyota Alphard berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu dan empat penumpang Toyota Alphard itu mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
Pemandu Perodua Viva serta empat penumpang termasuk seorang bayi juga telah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan manakala bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital.
“Pemandu Toyota Alphard, Aiza Romainor, 40, mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penumpang, Sharifah Amanda Zuhaira Syed Zuanda berusia setahun patah di bahagian peha sebelah kiri.
“Dua lagi penumpang Perodua Viva iaitu Siti Fatimah Abdullah, 34, dan anaknya, Nur Al Jannah Mohamad Budiman berusia lima tahun dikatakan cedera parah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.