TAWAU: Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM18.2 juta bagi pembinaan semula infrastruktur yang rosak dalam kebakaran 17 Mac lalu di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 dan Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 2015.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, RM10 juta daripada peruntukan itu akan disalurkan kepada 608 Ketua Isi Rumah (KIR) di Tawau untuk membina semula kediaman mereka. Manakala RM8.2 juta untuk pelaksanaan segera projek kerosakan harta benda dan infrastruktur di Semporna, melibatkan 435 KIR.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan semua orang dibantu, terutama apabila mereka ditimpa musibah seperti kebakaran,” katanya selepas menyampaikan bantuan RM500 kepada 200 mangsa kebakaran di Balai Raya Tawau, kelmarin.
Sementara itu, 408 lagi isi rumah kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran akan menerima bantuan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambah beliau, kerajaan mempunyai rancangan jangka panjang untuk menyediakan tapak penempatan untuk mangsa.
Walau bagaimanapun, usaha itu mengambil masa berikutan ramai penduduk tinggal di kawasan penempatan dan kampung yang padat.