spot_img
HomeSemasaAhmad Idham pergiat inisiatif pendidikan anak istimewa

Ahmad Idham pergiat inisiatif pendidikan anak istimewa

KUALA LUMPUR: Selepas ditamatkan kontrak sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar pada bulan lalu, pelakon yang juga merangkap seorang pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kini giat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ahmad Idham berkata, kini sudah tiba masa untuknya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat yang selama ini banyak menyokong dalam bidang yang diceburinya.

“Kejayaan selama 25 tahun dalam dunia seni juga merupakan antara sokongan masyarakat terhadapnya. Dan sekarang tiba masanya saya membalas jasa dengan memberikan semula kepada komuniti sebagai CSR. Setakat ini, produksi saya berjalan lancar, tetapi saya terpanggil untuk fokus dengan program CSR selepas kontrak saya ditamatkan sebelum ini,” katanya.

“Saya serius menjalankan usaha ini. Orang lain
mungkin akan menyantuni asnaf, anak yatim dan sebagainya. Tetapi usaha yang saya fokuskan ini adalah melihat kepada industri pendidikan khas untuk anak istimewa di Malaysia. Melihat pendidikan khas yang masih kritikal tambahan kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan ini juga kurang mendorong saya untuk fokus pada industri ini,” tambahnya.

“Jadi, selepas berbincang dengan isteri, Amy Aziz, kami rasa lebih baik kami menggerakkan CSR di bawah sekolah kami, Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus,” katanya.

Pada 7 April 2022, Ahmad Idham bersama isterinya menandatangani memorandum persefahaman antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus dengan Tadika Sinar Indah Berkat. Memorandum ini menandakan satu jalinan usaha sama bagi mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap Pendidikan Khas kepada golongan anak istimewa sekitar Ampang.

Bertepatan April sebagai bulan Autism Sedunia, usaha sama ini juga bakal memberi impak dan kesedaran lebih mendalam kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar lebih memahami kepentingan modul pembelajaran dan terapi yang terbaik. Tadika Sinar Indah Berkat akan menjadi tadika pertama di kawasan Ampang yang menyediakan khidmat pendidikan khas.

“Selain itu, kami mahu menyediakan khidmat saringan percuma bagi membantu ibu bapa mendapatkan pra diagnosis mengenai kelewatan anak dari segi akademik, mewujudkan program sokongan bersama komuniti ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Latihan untuk guru mendalami ilmu pengajaran kepada anak istimewa juga disediakan dan perlaksanaan program kekeluargaan dari masa ke masa,” katanya.

“Di Ampang, saya dan isteri mengusahakan tadika selama 14 tahun. Tadika ini juga adalah tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori. Saya mahu mulakan Ampang sebagai Hab Pendidikan Khas dan insya-Allah, saya akan kembangkan ke seluruh Malaysia. Selepas termeterai usaha sama ini, saya akan memulakan gerakan bertemu beberapa sekolah dan menziarahi keluarga sekitar Ampang untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan khidmat bantuan saya,” jelasnya.

Sementara itu, pendidikan khas perlu perhatian di seluruh negara ini kerana ramai ibu bapa tidak mendapat pendedahan sebenar dalam menjaga anak istimewa. Dengan itu, dia Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus ditubuhkan yang juga dinamakan bersempena anak sulungnya, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 21, yang juga anak istimewa.

Melihat sistem sokongan terhadap anak istimewa di Malaysia juga agak kritikal, Ahmad Idham mengambil inisiatif untuk meneruskan usaha ini kerana pendidikan khas bagi golongan istimewa adalah satu keperluan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular