KOTA KINABALU : Sabah FC bersiap sedia untuk mencatat kemenangan menjelang pertemuan menentang Sarawak United FC malam ini.
Pertemuan ini dilihat sangat penting sekali gus menentukan gelaran sebagai ‘Borneo Derby’.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata ini merupakan satu perlawanan lebih mencabar apabila sejarah perlawanan sebelum ini kerap kali mendatangkan keputusan yang cukup tipis.
“The Rhinos perlu bersedia menunjukkan komitmen tinggi sekaligus mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Melaka United FC,” tambahnya.
“Kita bermain di tempat lawan lebih-lebih lagi berhadapan tuan rumah Sarawak United. Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada mereka,” tambahnya lagi.
Menurut Kim Swee, pertemuan malam ini dilihat sangat penting untuk kedua-dua pasukan kerana skuad badak ingin meneruskan rentak kemenangan manakala Sarawak United pula ingin mencatat kemenangan pertama selepas hanya mampu mencuri 1 mata dalam tiga perlawanan Liga Super.
“Kemungkinan besar barisan pemain yang diturunkan pada malam ini adalah sama seperti yang diturunkan ketika menewaskan Melaka United FC dan berharap dapat mencapai matlamat mengutip mata,” tambahnya.
Kim Swee berkata Sabah FC ingin meneruskan rentak kemenangan berganda dengan matlamat membawa balik mata selepas perlawanan malam ini.
“Kita ingatkan agar semua pemain menggalas tugas serta fokus kepada perlawanan penting dengan tidak mengulangi kesilapan sehingga memghasilkan keputusan yang mengecewakan malam nanti,” tambahnya. – Sabah FC