KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven dan beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie memberi harapan buat Malaysia di Masters Korea hari ini selepas masing-masing berjaya mendapat tempat ke separuh akhir.
Joo Ven menyerlahkan rentak kecemerlangannya dalam kejohanan kali ini apabila berjaya mempertahankan tempat dalam kelompok empat terbaik dengan menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman 23-21, 21-18 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Gwangju Yeonju.
Bagi perebutan tempat ke final, pemain ranking ke-77 dunia itu akan bertemu Kodai Naraoka dari Jepun. Sementara itu, Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan keempat menepati ramalan apabila menundukkan pasangan Singapura, Terry Hee dan Tan Wei Han 21-16, 21-11.
Walaubagaimanapun, pasangan beregu Malaysia dijangka berdepan tugas sukar dalam aksi separuh akhir apabila dijadual akan bergandingan dengan pasangan beregu dari China iaitu Ou Xuan Yi dan Huang Ya Qiong.
“Secara keseluruhannya prestasi kami hari ini sangat sempurna dari segi taktikal dan teknikal. Walaupun kami mengalami prestasi turun naik sejak beberapa minggu lalu tetapi kami menghadapinya bersama dan belajar daripada pengalaman.
“Untuk perlawanan separuh akhir, kami akan buat persiapan yang lebih dari aspek mental kerana kami jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami juga akan bersedia dengan strategi permainan kami nanti,” kata Shevon.