SEMPORNA: Mayat dua mangsa terakhir bot karam di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata ditemui terapung berhampiran lokasi kejadian pagi, kelmarin.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Maritim Norrimi Hassan, mangsa Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, ditemui serentak oleh penduduk kampung sekitar pukul 7.50 pagi.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Semporna bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lima penumpang maut, manakala 14 lagi berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Beliau berkata, tekong bot turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Dalam pada itu, sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Semporna, Inspektor Khadijah di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berdekatan.