spot_img
HomeSemasaPemandu selamat, lori 10 tan terbakar di Kota Belud

Pemandu selamat, lori 10 tan terbakar di Kota Belud

KOTA BELUD: Seorang lelaki hampir rentung apabila lori 10 tan membawa muatan pasir yang dipandunya terbakar di Jalan Tenghilan-Kota Belud, berhampiran Bukit Kelawat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari.

Menurut Mohd Abd Qawie, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian bagi operasi memadam yang turut dibantu oleh sembilan anggota dari BBP Kota Belud.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati sebuah lori 10 tan yang membawa muatan pasir telah terbakar keseluruhan di bahagian hadapan.

“Dalam kejadian tersebut, pemandu berusia 40-an terbabit sempat menyelamatkan diri selepas menyedari terdapat kepulan asap hitam yang keluar dari bahagian depan lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman menggunakan air dari jentera supaya api tidak merebak ke bahagian belakang lori tersebut.

“Operasi pemadaman ditamatkan pada 1.30 tengah hari, manakala operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 1.36 petang setelah melakukan pemeriksaan terakhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat,” katanya.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular