SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan telah menahan tiga bot laju dari negara Filipina yang cuba menceroboh masuk ke perairan negara di kawasan perairan Sandakan, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, DSP Rusdin bin Banin berkata, pihak mereka telah mengesan bot-bot berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan ketika operasi mencegah kemasukan dari negara luar sedang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin di perairan negara.
“Pihak kami telah mengesan tiga bot laju dari arah perairan negara jiran yang memasuki perairan negara kita dalam keadaan yang mencurigakan.
“Bagaimanapun, pergerakan masuk bot-bot laju tersebut berjaya dipintas oleh pihak kami yang beroperasi menjaga perairan negara pada waktu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah mendapati bot-bot berkenaan berasal dari negara Filipina yang membawa hasil laut untuk dijual.
Susulan itu, PPM telah mengarahkan ketiga-tiga bot berkenaan untuk berpatah balik diiring sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Mereka juga diarahkan untuk tidak memasuki perairan Malaysia lagi selaras dengan kehendak Undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini,” katanya.
Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan jenayah dan aktiviti yang melanggar peraturan dan undang-undang melalui aplikasi Whatsapp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau terus ke balai berdekatan untuk tindakan lanjut.