Keningau: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menahan seramai 17 individu termasuk tiga pengedar disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, operasi berkenaan dijalankan selama tiga hari bermula 18 hingga 20 April lalu di daerah ini.
“Operasi ditumpukan di beberapa buah kampung termasuk Kampung Tuarid Taud, Kampung Toboh Baru, Kampung Kauran, sekitar Pekan Keningau dan Tambunan.
“Hasil serbuan berjaya memeriksa seramai 21 individu dan 17 daripada mereka ditahan selepas terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan dadah,”
Tambahnya tiga daripada suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Tujuh suspek yang lain disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 manakala tujuh lagi mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
Difahamkan sepanjang operasi dijalankan, pasukan serbuan berjaya merampas 14.10 gram dadah jenis Syabu atau methapetamine.
Beliau berkata operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa dan pihak polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.


