SIPITANG: Kerajaan Negeri GRS-BN melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan supaya rakyat Sabah tidak lagi mencari kerja di tempat lain.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, hampir 200,000 rakyat Sabah, tidak termasuk tanggungan, kini bekerja di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan GRS-BN fokus untuk mewujudkan negeri mesra pelabur bagi menarik lebih ramai pelabur datang. Saya mahu membawa masuk pelabur ke Sabah supaya kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia tempatan kita,” katanya.
Beliau memaklumkan 10 syarikat besar telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melabur dalam Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Pelaburan bernilai berbilion ringgit akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan belia di daerah ini daripada peluang pekerjaan dan spin-off ekonomi,” katanya ketika majlis berbuka puasa anjuran Bersatu Sipitang di Dataran Masjid Nurul Iman.
Kerajaan berjaya menyediakan Hala Tuju SMJ, rancangan lima tahun untuk membangunkan Sabah, yang dilancarkan hanya enam bulan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.
Sementara itu, beliau meluluskan beberapa projek pembangunan bagi komuniti Weston. – The Borneo Post