KOTA KINABALU: Seorang kontraktor maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kolombong, dekat Taman Iramanis, di sini awal pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, panggilan kecemasan diterima jam 1.05 pagi sebelum pasukan bomba dihantar ke lokasi, kira-kira empat kilometer dari balai.
Mangsa pemandu Toyota Hilux, Wilson Kong Chung Tzer, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi kereta Toyota Aristo dan BMW cedera dalam kejadian jam 1 pagi itu.
Setibanya di sana, Toyota Aristo sudah terbakar, namun anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, pemandu BMW mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi rawatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati dua daripada kenderaan itu menuju ke Penampang melalui Jalan Lintas, apabila kenderaan ketiga keluar dari simpang sehingga menyebabkan kemalangan.
“Seorang daripada pemandu kereta itu tercampak ke dalam longkang kecil berikutan kemalangan itu,” katanya.
Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat lanjut mengenai kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan.
Sementara itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.