KINABATANGAN: Seramai empat lelaki ditahan setelah disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan di sekitar Tongod, semalam.
Menurut laporan yang diterima, dua laras senjata api buatan sendiri dan beberapa butir peluru turut dirampas dalam penahanan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, keempat-empat suspek warga tempatan yang berusia antara 28 hingga 31 tahun itu ditahan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) di dua lokasi berasingan di Kawasan hutan simpan berkenaan ketika menjalankan rondaan.
“Dua aduan telah diterima di Balai Polis Tongod berkenaan dengan penahanan empat lelaki tersebut.
“Ketika penguat kuasa JPS membuat rondaan di sekitar Hutan Simpan Maliau Basin, menahan seorang lelaki dan menemui satu laras senjata api buatan sendiri bersama 10 butir peluru dalam milikan suspek.
“Suspek turut dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan simpan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Dzulbaharin berkata kejadian berlainan berlaku di Kawasan Hutan Simpan Gunung Tinkar, Tongod penguat kuasa khas JPS terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
“Satu laras senjata api buatan sendiri turut ditemukan di bahagian kenderaan yang dinaiki tiga lelaki ketika pemeriksaan dilakukan.
“Susulan itu, pihak kami turut menemukan enam butir peluru yang diletakkan di dalam beg sandang milik suspek. Kesemua suspek juga disyaki baru bergerak menaiki kenderaan itu untuk menjalankan aktiviti pembururan haram di Kawasan hutan simpan berkenaan,” katanya.
Keempat-empat suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk tindakan lanjut manakala dua kertas siasatan berasingan dibuka mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – Hmetro