KOTA KINABALU: Beberapa pasar raya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu serta daerah-daerah berhampiran kini mula mengehadkan pembelian tepung gandum dimana setiap pembeli hanya dibenarkan untuk membeli dua paket tepung bagi setiap pembelian.
Tindakan ini difahamkan bagi memastikan pengguna tidak membeli dalam jumlah yang banyak sekaligus untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkannya berikutan bekalannya dilaporkan semakin menyusut.
Merujuk kepada tinjauan di sebuah pasar raya di Putatan, had belian dua paket tepung gandum bagi setiap pembeli dilaksanakan bermula 17 Mei 2022.
Jumlah tepung gandum yang boleh didapati juga kelihatan sedikit, selain hanya satu atau dua jenama dijual berbanding lebih daripada itu sebelum ini.
Di pasar raya Bataras Putatan pula, Tepung Gandum Cap Rama-Rama dengan berat sekilogram sepaket dijual pada harga RM3.48, manakala jenama Tepung Gandum Cap Ros seberat 850 gram dijual RM2.60 sepaket.
Sementara itu, harga ayam bulat jenis super di pasar raya sama dijual RM10.98 sekilogram, masih di bawah harga kawalan namun bahagian ayam khususnya kepak naik kepada RM15 sekilogram berbanding antara RM11.90 hingga RM13 sekilogram sebelum ini.
Dengan itu, para pengguna dinasihatkan agar bijak dalam mengurus penggunaan keperluan harian agar dapat digunakan dalam jangka lebih panjang.