KOTA KINABALU: Herba tempatan di Sabah berpotensi untuk dibangunkan dalam industri kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat, serta bebas daripada bahan kimia berbahaya.
Hal tersebut dapat dibuktikan oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya mencipta produk kecantikan dan kesihatan organik, selepas meneliti durian belanda dan sarang burung tempatan.
Menurut pakar biokimia Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Profesor Madya Dr. Md Shafiquzzaman Siddique, idea penyelidikan itu tercetus pada 2017 berikutan larangan kosmetik tempatan yang menggunakan bahan kimia berbahaya.
“Produk kosmetik sintetik mengubah kulit menjadi cantik, tetapi boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang. Kajian melaporkan sebanyak 41 peratus punca kanser adalah kosmetik,” katanya.
“Oleh itu, saya menjalankan penyelidikan saya terhadap beberapa herba tempatan Sabah, dan berjaya mencipta produk kecantikan dan kesihatan organik bernama Vivify,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau memaklumkan durian belanda dan sarang burung dipilih sebagai bahan utama dalam penghasilan produk tersebut.
Durian belanda mengandungi campuran bioaktif yang berfungsi sebagai antioksidan, manakala sarang burung mengandungi kolagen untuk kulit yang cantik.
“UMS akan terus menjalankan penyelidikan mengenai herba tempatan di Sabah untuk mengenal pasti khasiat dan faedahnya kepada kesihatan,” kata Dr Md Shafiquzzaman yang telah diiktiraf oleh Universiti Stanford sebagai antara dua peratus saintis terbaik di dunia.
Sementara itu, antara produk ciptaan beliau ialah syampu, pencuci muka, sabun badan.