Johor Bahru: Polis telah menahan dua individu termasuk seorang warga Korea Selatan kerana kes penipuan jualan tiket penerbangan ke Korea, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata dua suspek utama berkenaan ditahan di Tanjung Aru, Sabah.
“Suspek terdiri wanita warga Korea Selatan berusia 39 tahun dan lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mana kedua-duanya kini direman sehingga esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelumnya, pada 11 Mei lalu, pihak polis menerima 20 laporan berhubung kes penipuan penjualan tiket penerbangan secara atas talian yang membabitkan kerugian sehingga RM233,94.
Menurut beliau, siasatan yang dilakukan telah mendapati mangsa melayari satu laman web yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan yang didakwa dikendalikan oleh syarikat Apsan Travel dan Tour Sdn Bhd.
Mangsa dikatakan membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.
Setelah membuat pembayaran, mangsa dikatakan gagal memperoleh tiket penerbangan yang dibeli.
Sementara itu, Polis Johor menerima lima laporan polis daripada lima warga Korea yang menjadi mangsa satu sindiket penjualan tiket penerbangan ke negara itu, sejak awal tahun ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datu Kamarun Zaman Mamat berkata, lima laporan polis itu dibuat di seluruh negeri ini membabitkan kerugian RM59,125.
“Di Johor sahaja membabitkan lima kes iaitu lima warga Korea Selatan yang ditipu oleh sindiket ini. Kes ini berlaku diseluruh negara termasuklah Sabah dan Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan juga telah mendapati mangsa terbabit membuat pembelian tiket penerbangan untuk pulang ke Korea dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimanapun menyedari mereka ditipu suspek yang dipercayai membuka akaun bank agensi pelancongan palsu,” katanya.
Susulan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati, di samping menyebut bahawa sindiket ini didalangi oleh warga Korea dan Malaysia tersebut, yang membabitkan warga negara terbabit yang berada di Malaysia ketika tempoh PKP dan ingin pulang ke negara mereka. – Berita Harian