spot_img
HomeSemasaVirus cacar monyet, pengawasan pintu masuk dipertingkatkan

Virus cacar monyet, pengawasan pintu masuk dipertingkatkan

KOTA KINABALU: Susulan daripada hebohan gejala penyakit baru yang dikenali sebagai monkeypox atau cacar monyet baru-baru ini, kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa. Hal ini demikian bagi memastikan penularan virus cacar monyet yang kini berlaku di luar negara tidak merebak masuk ke Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk mengumpul sampel dan mengenal pasti penumpang yang menunjukkan simptom bagi mengelak penyakit itu merebak ke Malaysia.

Menurutnya, ujian saringan serta pemeriksaan suhu akan ditempatkan di semua pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang yang lain.

“KKM akan mengambil tindakan serta sentiasa berwaspada dengan penyebaran sebarang virus di negara ini. Untuk virus Monkeypox atau cacar monyet ini kita lebih berhati-hati di pintu masuk seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan lapangan terbang yang lainnya.”, jelasnya.

Bagi individu yang datang dari negara Eropah atau negara yang mempunyai kes tersebut, individu terbabit akan dipantau serta diberi lebih perhatian. Pemeriksaan tahap kesihatan serta ujian saringan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka masuk ke Malaysia.

Tambahnya lagi, tiada kes cacar monyet dicatatkan sehingga kini di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan lebih 100 kes positif virus itu dilaporkan di seluruh dunia. Virus cacar monyet dilaporkan telah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.

Dengan langkah ini, diharapkan agar penularan penyakit ini dapat dikawal sebaiknya daripada merebak secara meluas di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular