KUALA LUMPUR: Susulan daripada jangkaan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencecah RM5.50 bagi AS$1, harga barangan juga dijangka meningkat dalam jumlah 50 hingga 60 peratus.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata peningkatan itu adalah disebabkan oleh Malaysia mengimport lebih 80 peratus barangan keperluan dari luar negara, terutama sekali produk makanan.
“Sebenarnya aktiviti pengimportan makanan kita sudah bertambah sejak tahun 2015 dengan jumlah kira-kira RM35 bilion, kemudian pada tahun 2019 menjadi RM45 bilion dan hari ini jumlah kian mencecah ke angka RM55 bilion. Jadi berkemungkinan jumlah ini akan meningkat lagi disebabkan perubahan kehendak pengguna,” jelasnya.
“Hampir 45 peratus makanan yang kita import adalah makanan luar iaitu makanan yang kita sering makan di restoran. Jadi, jika aktiviti import ke atas makanan terus meningkat, maknanya permintaan ke atas dolar AS akan meningkat kerana kita mengimport barangan dalam mata wang itu,” tambahnya lagi.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dijangka mencecah RM5.50 bagi AS$1 menjelang akhir tahun ini jika kerajaan tidak ambil langkah bersesuaian bagi mengekang kadar penurunan berterusan mata wang tempatan.
Sehubungan itu, kerajaan digesa untuk memberi sepenuh perhatian kepada pembaikan tukaran asing supaya nilai ringgit tidak terus jatuh, malah dapat dipertingkatkan berbanding dolar AS.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, turut berkongsi pandangan sekiranya kadar mata wang ringgit susut kepada RM5.50 bagi AS$1, ianya akan memberi kesan kepada kadar inflasi negara sekaligus memberi tekanan kepada keadaan kewangan negara.
Kenaikan harga barangan khususnya harga makanan. Ia juga akan memberi tekanan kepada kerajaan kerana apabila kerajaan memutuskan meletakkan harga kawalan ke atas makanan asas, kerajaan terpaksa memberi subsidi dan subsidi yang kerajaan terpaksa peruntukan adalah sekitar RM28 bilion dan kemungkinan meningkat RM30 bilion yang mana jumlah itu sebenarnya lebih tinggi berbanding kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tahunan iaitu kira-kira RM27 bilion.