KUALA LUMPUR: Berikutan daripada kenaikan inflasi serta kos sara hidup rakyat, kerajaan mengumumkan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebagai satu cara efektif bagi menambah pendapatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GST adalah satu langkah yang wajar dilakukan kerana dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengakui tindakan kerajaan dalam mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi mungkin dilihat para pengguna sebagai beban kos sara hidup mereka khususnya apabila GST diperkenalkan semula.
“Tujuan utama kerajaan mengembalikan GST adalah untuk mengembangkan asas pendapatan negara sekaligus menanggung beban subsidi awam,” katanya.
Malaysia beralih kepada rejim GST semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada tahun 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekaligus dikatakan antara penyumbang kepada kekalahan parti itu dalam PRU14.
Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran selepas PH menerajui kerajaan, beliu mengambil langkah membatalkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar mengenai persepsi negatif terhadap GST, tetapi kerajaan mempunyai pilihan terhad untuk menambah tabungan kerajaan persekutuan.
“Kerajaan kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila GST dimansuhkan dan menggantikannya dengan SST. Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia,” jelasnya lagi.
Dengan itu, kerajaan akan merangka cara untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan GST dan kutipan cukai yang telus.
Jika GST diperkenalkan semula, rakyat perlu sedia untuk menerimanya. Tambahan, kerajaan akan menyasarkan untuk kadar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, tetapi tidak terlalu rendah sehingga menggagalkan tujuan mengembangkan hasil cukai.
Bank Negara (BNM) baru-baru ini menyokong idea mengembalikan semula GST kerana dengan berbuat demikian akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan.
Selain petrol dan diesel, kerajaan juga memberi subsidi untuk minyak masak, gula, tepung dan gas asli cecair. Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengusahakan program rasionalisasi subsidi bertujuan menyediakan bantuan disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, dengan pelan komprehensif akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan dalam tempoh terdekat.