Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas lebih satu tan minyak masak bersubsidi disyaki cuba diseludup keluar negara, di Pulau Kulapuan, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, pasukan Maritim mengesan sebuah bot pam sarat dengan muatan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.
Katanya, pasukannya bertindak memintas bot berkenaan bagi tujuan pemeriksaan dokumentasi dan muatan yang dibawa.
Dilaporkan suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.
“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan lebih satu tan minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran”
Semua barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM8,000 berkenaan dibawa ke jeti Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, Maritim Semporna akan melakukan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik bot yang dirampas serta dalang di sebalik kegiatan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi,” tambahnya lagi.