spot_img
HomeSemasaAyam kurang laku kerana kenaikan harga

Ayam kurang laku kerana kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Berikutan daripada isu kenaikan harga ayam, bekalan ayam kini dilaporkan semakin kurang di pasaran. Walaupun bekalan ayam dikatakan semakin berkurang, namun terdapat peniaga ayam segar mengeluh kerana gagal menghabiskan jualan disebabkan harga ayam yang mahal.

Merujuk kepada tinjauan yang dilakukan di beberapa pasar basah di sekitar Kuala Lumpur, kebanyakan peniaga menjual ayam dengan harga RM9 hingga RM11 bagi setiap kilogram.

Abdullah Razali, seorang peniaga ayam, berkata dalam sehari beliau mendapat bekalan kira-kira 50 ekor ayam sahaja berbanding 100 ekor sebelum ini dan ketetapan harga bagi sekilogram ayam adalah antara RM9 hingga RM9.50.

“Walaupun bekalan ayam kurang pada masa ini, 50 ekor ayam yang saya bekalkan masih tidak habis dijual kerana pembeli berpendapat harganya mahal,”katanya.

“Jika melihat dari aspek untung, keuntungan yang saya dapat tidak banyak iaitu antara RM1 hingga RM1.50 saja bagi setiap kilogram. Jika saya menjual dengan harga lebih rendah, saya terpaksa menanggung kerugian,” tambahnya lagi.

Rahim, 47, pula berkata beliau terpaksa menjual ayam dengan harga RM11 seekor.
Jelasnya, bekalan ayam kini kian sukar diperoleh sehingga beliau pernah tidak berniaga selama dua hari disebabkan tiada bekalan ayam.

Di samping perubahan harga ayam, Junaida, 52, turut memberitahu bahawa harga sayur juga kerap berubah sejak Ramadan lalu.

Dalam masa seminggu, harga sayur kerap naik dan turun. Contohnya pada Isnin dan Selasa, harga naik tetapi pada Rabu pula harga akan turun. Harga bagi sekilogram terung adalah RM6, kacang panjang RM8 sekilogram dan cili merah pula RM13 hingga RM15 sekilogram. Bekalan sayur dikatakan diambil daripada pasar borong dan jika harga di pasar borong mahal, para penjual juga terpaksa menjualnya dengan harga agak mahal.

Pemilik kedai makan yang dikenali sebagai Rashid, 58, berkata beliau terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan harga barang mentah meningkat.

“Kita terpaksa meningkatkan harga makanan kerana barang mentah semakin mahal. Jika dulu saya menjual nasi goreng dengan harga RM5, sekarang harganya sudah berubah kepada RM6. Namun begitu, saya bersyukur kerana banyak pelanggan memahami situasi sekarang,” katanya.

Daripada tinjauan dalam kalangan pengguna pula, terdapat segelintir pengguna yang merasa terkesan dengan kenaikan harga tersebut kerana terpaksa memperuntukkan lebih banyak kos untuk bahan mentah manakala bagi pengguna yang tidak kerap membeli bahan mentah, mereka merasa tidak terkesan dengan kenaikan harga tersebut.

Dengan itu, diharapkan agar pengguna sentiasa bijak dalam menguruskan keperluan harian supaya kenaikan harga barangan mentah tidak terlalu membebankan kewangan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular