SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menghalang lima buah bot laju dijuragani lima lelaki dan dua penumpang tambahan dari Filipina yang cuba menceroboh masuk perairan negara di kawasan laut Nunuyan, Sandakan, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, DSP Rudin bin Banin berkata pihak mereka telah mengesan bot-bot tersebut dalam keadaan yang mencurigakan dari arah perairan negara jiran.
“Kelima-lima bot berkenaan dikesan dari arah perairan negara jiran yang cuba memasuki perairan negara dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati PATI tersebut mendakwa berasal dari Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bot-bot tersebut kemudiannya diusir dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Kesemua PATI berkenaan diarahkan agar tidak memasuki perairan Malaysia selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
Susulan itu, Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0139391197 atau terus ke balai berdekatan untuk tindakan lanjut.