spot_img
HomeSemasaPenganjur Masters Indonesia siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

Penganjur Masters Indonesia siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

JAKARTA: Susulan daripada laporan yang menyatakan bahawa para pemain dari Malaysia dan Thailand mengalami keracunan makanan, jawatankuasa penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022 mengambil tindakan untuk menyiasat kes berkenaan. Keracunan makanan yang dialami oleh pemain dari Malaysia dan Thailand disyaki selepas mengambil sarapan pagi di hotel pada Jumaat.

Jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia, Broto Happy berkata, setelah mengetahui berita tersebut melalui sosial media, pihak mereka turut menzahirkan rasa simpati.

“Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat oleh para pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan tersebut,” katanya.

Namun, pemain yang terlibat telah dirawat di hospital yang tiada kaitan dengan jawatankuasa penganjur atau hotel rasmi kejohanan.

Melihat kepada keadaan tersebut, tempat makan pemain dan pegawai kini dipisahkan dengan tetamu hotel mulai hari ini untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Hasil koordinasi dengan jawatankuasa penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggesa pengurus pasukan mengingatkan pemain agar berhati-hati memesan makanan dari luar hotel atau makan makanan tertentu.

Sementara itu, Broto berkata, hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

“Kalau keracunan makanan, kesannya serta-merta. Kita tidak boleh menyimpulkan kes ini sebagai kes keracunan yang berpunca daripada makanan hotel kerana pemain yang menginap di dua hotel rasmi kejohanan bebas memesan makanan secara dalam talian atau makan di restoran berhampiran.” kata Dr Grace Corlesa Joselini yang merupakan doktor kejohanan.

Malam tadi, media melaporkan lima pemain Malaysia dan beberapa pemain Thailand mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia, Rexy Mainaky ketika dihubungi mengesahkan bahawa para pemain sudah boleh pulang ke hotel, namun kondisi badan masih dalam keadaan yang lemah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular