KUALA LUMPUR: Susulan daripada kontroversi yang dihadapi oleh pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang dikhabarkan menarik diri daripada mewakili Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham pada bulan depan tidak mengganggu fokus beliau di Terbuka Malaysia 2022.
Pelbagai reaksi yang diterima pemain dunia itu selepas membuat keputusan menarik diri walaupun sudah menjelaskan sebab utama beliau menarik diri daripada perlawanan tersebut. Bagi membolehkan dirinya mendapatkan rehat mencukupi sebelum Kejohanan Dunia berlangsung di Tokyo dari 22 hingga 28 Ogos nanti, beliau harus berpegang pada keputusan tersebut.
Justeru, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan dia enggan memanjangkan lagi isu berkenaan dan ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan yang bakal disertainya selepas ini termasuk Terbuka Malaysia.
“Saya rasa takkan mengganggu atau memberi kesan kepada saya dalam persiapan di Terbuka Malaysia. Sebab itulah saya di sini sebagai pemain profesional kerana saya nak jauhkan daripada perkara sebegini. Saya tak akan membalas apa-apa komen mengenai perkara ini. Saya tak akan balas semula kritikan yang dilontarkan kerana saya mahu memberi fokus kepada badminton saja,” katanya.
Baru-baru ini, Zii Jia mengesahkan dirinya menarik diri daripada menyertai kontinjen negara ke Birmingham untuk memberi tumpuan penuh terhadap persiapan Kejohanan Dunia. Keputusan sukar itu terpaksa dibuat Zii Jia dengan menyatakan faktor tubuh badannya yang perlu berehat selepas beraksi dalam banyak kejohanan secara berturut-turut sebelum ini.
Susulan keputusan kontroversinya itu, Zii Jia menerima tamparan hebat termasuk daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang secara peribadi menyifatkan dirinya akan memilih empat temasya sukan utama iaitu Olimpik, Komanwel, Asia dan SEA sebelum memikirkan kejohanan lain termasuk Kejohanan Dunia.
Tidak cukup dengan itu, keputusan Lee Zii Jia turut mengundang kritikan bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj yang mempersoalkan semangat kenegaraan dimiliki juara Terbuka England 2021 itu.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapannya menjelang Terbuka Malaysia yang bakal membuka tirainya Selasa ini, Zii Jia menyatakan setakat ini semuanya berjalan lancar dan dia akan mencuba sehabis baik dan dapatkan sesuatu daripada kejohanan ini.
“Saya tak mahu membuat jangkaan mengenai pesaing lain, bagi saya apa yang paling mencabar adalah diri sendiri,” tambahnya.
“Dalam semua perlawanan semestinya ada kalah menang dan itu adalah satu pembelajaran dan pengalaman. Saya amat menantikan dan akan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan Terbuka Malaysia,” katanya.