spot_img
HomeSemasaLelaki disyaki kelar isteri, bayi 3 bulan direman seminggu

Lelaki disyaki kelar isteri, bayi 3 bulan direman seminggu

Johor Bahru: Seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu direman tujuh hari bermula hari ini.

Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.

Dipercayai tindakan suspek adalah disebabkan tekanan dan desakan hidup sehingga mendorong lelaki berkenaan untuk mengelar leher isteri dan bayinya yang baru saja dilahirkan di sebuah rumah di Bakar Batu, pada isnin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir, ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah teres didiami pasangan muda itu.

Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, menyedari kejadian yang menimpa anak ketiga dari enam beradik itu setelah diberi tahu anak sulungnya.

“Anak saya telefon beritahu ada masalah dekat rumah ini, saya terus bergegas ke rumah anak saya (Hajar Nursyahirin), terkejut tengok cucu dan ibunya terbaring dengan berlumuran darah di halaman rumah.

“Kami terus periksa dan dapati ada kesan tikaman pada leher kedua-duanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular