KOTA KINABALU: Presiden Bola Baling Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sebanyak 52 pasukan menyertai Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah 2022, Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang berlangsung 15 hingga 18 September depan.
Kejohanan dwi tahunan ini, akan diadakan di gelanggang futsal Yayasan Sabah, Kota Kinabalu.
“Sebanyak 29 pasukan lelaki, 23 pasukan wanita telah mendaftar dan dijangkakan ada lagi pasukan akan sertai sebelum tarikh tutup 28 Ogos ini”
“Hadiah kejohanan kali ini merupakan hadiah terbesar dalam sejarah Bola Baling di Sabah mahupun Malaysia. Hadiah utama lelaki RM10,000 manakala Johan untuk wanita RM5,000,” katanya.
Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM36,000 dan trofi dua kategori lelaki dan wanita.
Awang memberitahu, selain pasukan dalam negeri Sabah ada beberapa pasukan dari negeri Sarawak, Selangor, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan serta satu pasukan dari Singapura.
Dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Golden, Awang berkata, seramai 20 pengadil berpengalaman akan mengadili perlawanan pada kali ini, dan duanya dari Indonesia.
“Diharapkan kejohanan ini dapat dijalankan dengan jayanya, kepada semua dan rakan media terus memberi sokongan tidak berbelah bagi”
“Selepas kejohanan ini, diharapkan sukan bola baling di Sabah akan tersebar luas lagi, bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta,” katanya.