LAHAD DATU: Kes pembuangan bayi di Sabah semakin merisaukan seakan-akan menjadi satu kebiasaan kepada pasangan tidak mengenal erti kemanusiaan.
Berhatikan binatang, itulah perumpamaan kepada Si Pelaku yang sanggup membuang bayi yang dikandungnya sembilan bulan.
Pedih pilu meruntun jiwa seorang pemandu lori sampah menemukan bayi ditempat pembuangan sampah di bandar Fajar, pada 11.30 malam semalam.
ACP Dr. Rohan Shah Ahmad, Ketua Polis Daerah Lahad Datu berkata mayat bayi tersebut ditemui dalam longgokan sampah oleh pemandu lori tempatan berusia 44 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor pengurusan sampah.
“Bayi itu dibalut dengan sehelai baju kemeja perempuan berwarna kelabu dengan corak bergaris,” katanya.
Sepasukan pegawai polis dari IPD Lahad Datu telah bergegas ke lokasi setelah menerima maklumat dan menjalankan siasatan serta merta seterusnya menghantar mayat bayi itu ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pihak polis sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian Hotline IPD Lahad Datu : 089-881255 atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Sophia Thomas Kasau 013-9392505.