KOTA KINABALU: Semalam demisabah melaporkan penemuan mayat bayi ditempat pembuangan sampah di bandar Fajar Lahad Datu.
Hari ini, seorang pekerja pembersih kumbahan menemukan mayat bayi di loji kumbahan sebuah apartment di Inanam.
Gejala pembuangan bayi di Sabah semakin merisaukan dan membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata hasil siasatan mendapati pekerja terbabit berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembersihan loji kumbahan sebelum melihat objek menyerupai anak patung di dalam sangkar perangkap sampah pada jam 9.30 pagi.
“Pekerja terbabit kemudian mengangkat sangkar itu sebelum mendapati objek berkenaan adalah janin bayi lalu menaikkan sangkar itu untuk mengeluarkan janin kerana bimbang janin itu akan di hanyutkan berikutan arus air kumbahan agak laju,” katanya.
Tambah Zaidi, kejadian kemudian dimaklumkan kepada penyelianya sebelum laporan polis dibuat.
“Pihak jabatan kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah yang membuat pemeriksaan awal di lokasi mengesahkan bahawa bayi yang masih bertali pusat itu sudah meninggal”
“Jantina bayi tidak dapat dipastikan dengan tepat bagaimanapun berkemungkinan besar jantina mangsa dipercayai lelaki,” katanya,
Hasil pemeriksaan Pihak Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menunjukkan ukuran tinggi janin itu adalah kira-kira 18 sentimeter (cm) dan masih bertali pusat serta lengkap anggota badan.
“Mayat bayi dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE1) untuk bedah siasat selepas keputusan calitan COVID-19 diperolehi,” tambahnya.
Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337243.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. -Utusan Borneo Online