spot_img
HomeSemasaSindiket sijil vaksinasi palsu jejaskan keselamatan awam di Sabah

Sindiket sijil vaksinasi palsu jejaskan keselamatan awam di Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi MCA Sabah, Pamela Yong, menegaskan pesalah yang terlibat dalam pengeluaran sijil digital vaksinasi palsu perlu dikenakan hukuman berat.

Beliau berkata, Wanita MCA mengakui usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menahan reman seorang suspek lelaki sebagai sebahagian daripada siasatannya yang didakwa merasuah seorang sukarelawan di pusat vaksinasi mengenai pengeluaran sijil vaksinasi yang palsu.

“Beri hukuman yang berat terhadap pesalah terbabit agar dia sedar tempoh di penjara lebih sukar berbanding tempoh kuarantin atau sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, pihaknya menyedari isu sindiket sijil vaksinasi palsu itu telah meletakkan nyawa orang ramai terancam, sekali gus memberi tekanan ke atas petugas barisan hadapan negara yang sudah banyak dibebani.

“Kita mendapati pembeli sijil vaksin palsu tersebut membelinya untuk memperkasakan mereka dengan mobiliti atau kemudahan mendapatkan pekerjaan,” ujarnya lagi.

Pihaknya turut berasa sedih dan kecewa kerana kes sebegini boleh meresap di negeri ini yang dianggap bertentangan dengan isu kesihatan dan keselamatan awam.

Walau bagaimanapun, Yong menggesa kepada pembeli sijil vaksinasi palsu yang terlibat agar mendapatkan suntikan dan tampil membantu pihak berkuasa memberi maklumat pemerolehan sijil palsu itu.

Sementara itu, beliau juga menyeru pihak kesihatan dan antirasuah untuk menyiasat pengeluaran sijil palsu yang berkemungkinan akan berleluasa pada masa ini.

“Kami berharap satu talian atau portal diwujudkan bagi menyemak kesahihan sijil dan orang ramai juga dapat melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular