KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah berjaya menahan seorang lelaki bersama rampasan syabu seberat 55.4 kilogram yang bernilai RM1.994 juta di perkarangan sebuah syarikat penghantaran barang di Inanam, 4 dan 9 Januari lalu.
Menurut laporan, JSJN Sabah telah berjaya menahan suspek yang berusia 50 tahun yang berlindung di sebalik perniagaan aksesori ikan hiasan dalam sebuah serbuan yang dilakukan di syarikat berkenaan pada jam 4.15 petang.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata suspek ditahan ketika memandu kereta PERODUA Bezza yang turut membawa tiga kotak berisi 33.26 kilogram syabu yang nilainya dianggarkan mencecah RM1.21 juta.
Jauteh berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang telah dilakukan pada 9 Januari di bangunan komersial Aeropod telah berjaya menemukan dua kotak berisi syabu seberat 21.78 kilogram yang dianggarkan bernilai RM784,080.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan dadah dirampas seberat 55.4 kilogram yang mencecah sehingga RM1.994 juta berdasarkan harga pesaran semasa.” Katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Jauteh, dadah yang dirampas mampu menampung lebih kurang 280 ribu penagihan.
Susulan itu, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM102,097 daripada suspek untuk siasatan lanjut.
“Siasatan yang dilakukan terhadap suspek turut mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau yang membabitkan jenayah curi dan dadah.
Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek telah mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Suspek kini ditahan dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.


