Seremban: “Kita digalak melakukan tindakan dan balasan yang setimpal terhadap pihak yang menghina atau menggugat kemuliaan kita serta Islam,” kata Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad.
Mohd Yusof memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini membantah kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron berikutan isu menghina Rasulullah SAW.
Emmanuel mencetuskan kemarahan dunia Islam susulan kenyataan terbukanya mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang dianggap sebagai menghina Islam.
Mohd Yusof berkata, pihaknya menyokong tindakan berkenaan, termasuk memboikot produk dari Perancis bagi memberi mesej penting bahawa umat Islam tidak akan merelakan sesiapa sahaja yang berani menghina Islam.
“Islam menggalakkan agar hidup dalam bermasyarakat ini perlu harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, tetapi jika ada pihak yang cuba mengganggu, menggugat keamanan serta kesejahteraan dan melakukan penghinaan terhadap Islam, kita perlu ambil tindakan.
“Cadangan memboikot produk dari Perancis harus dilakukan, namun sejauh mana ia berkesan atau tidak, itu bergantung kepada keadaan, tetapi mesej harus disampaikan,” katanya ketika ditemui di Seremban 2, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, umat Islam perlu mempertahankan kesucian agama itu.
“Pihak yang cuba mencemarkan kesucian Islam bukan baharu malah Islam sering kali menjadi mangsa tohmahan dan cacian. Mereka melakukan tindakan itu hanya berselindung di sebalik alasan hak kebebasan bersuara.
“Kita (umat Islam) patut mempertahankan kesucian Islam dan beri balasan yang sama atau sesuai kepada pihak yang berkenaan yang menghina agama kita,” katanya.
-harianmetro